Friday, May 15, 2015

Zara The Explorer

Malam itu Zara yang baring di katil mengeluh sendiri selepas selesai membaca novel dari penulis kegemarannya. Novel Looking For Alaska diletakkan di sisi.
                ‘Nak baca apa lagi lepas ni?’ detik hatinya. Dia berasa sedikit kecewa kerana tidak mempunyai bahan bacaan yang terbaru untuk dinikmati. Novel karya John Green itu merupakan novel terakhir  antara novel-novel yang dibeli di Pesta Buku Big Bad Wolf yang berlangsung di MIECC beberapa bulan yang lepas.
                Tiba-tiba dia teringatkan buku yang diberi seorang lelaki semasa dia pulang dari membeli-belah di Big Bad Wolf.
                “Cik.. Nak beli buku? Buku ni ada satu je, cik.” Tegur seorang lelaki kurus berpakaian lusuh. Lelaki itu mengejutkan Zara yang sedang menuju ke parking keretanya.
                “Eh, takpelah. Saya baru je balik dari beli buku ni,” Tolak Zara dengan baik, bimbang diapa-apakan lelaki yang mencurigakan itu.
                “Jangan macam ni cik. Tengok dulu buku ni. Buku ni bagus cik. Konfem tak menyesal beli,” Ujar lelaki itu lagi, kali ini mengusap hidungnya yang berair. Matanya yang merah tidak lepas dari memandang Zara.
                ‘Ah.. Ni tak lain tak bukan mat pit la ni!’getus hati Zara.
                 Berdua-duaan dengan lelaki itu membuatkan Zara cemas. Kawasan parking itu diperhati. Dia berharap agar ada orang yang muncul bagi membolehkan dia lari dari situasi itu. Malangnya tidak ada sesiapapun di tempat itu melainkan dirinya dan lelaki yang menakutkan itu.
                “Saya tak boleh beli. Tak cukup duit. Saya dah beli banyak buku ni,” Zara mengangkat beg plastik yang sarat dengan buku yang baru saja dibeli tadi dengan harapan lelaki itu tahu yang Zara tidak berbohong.
                “Cik jangan risau. Buku ni saya jual murah je. Sepuluh ringgit je cik,” Kali ini lelaki itu tersenyum pula, menampakkan barisan giginya yang kuning. Buku berwarna hitam tidak bergambar dihulurkan pada Zara.
                Zara melihat buku yang dihulurkan. Buku hitam itu bertukar tangan. Zara mengagak buku itu merupakan sebuah buku yang lama berdasarkan keadaan buku itu yang lusuh, helaian kertas juga sudah ada yang koyak dan berwarna kuning. Zara melihat tajuk buku itu yang ditulis dengan huruf besar berwarna merah.
                “Daerah Malam?” Dahi Zara berkerut. Sebaik saja dia mengangkat muka untuk memandang lelaki itu, lelaki itu sudah hilang dari pandangan. Kini hanya dia seorang berada di kawasan itu. Berdiri dan memegang sebuah buku bertajuk Daerah Malam.


                Bingkas Zara bangun dari katil dan menuju ke rak buku. Setelah hampir lima minit mencari, akhirnya Zara jumpa buku hitam tersebut. Zara kembali baring di atas katil, posisi paling kondusif baginya untuk membaca.
                Zara memulakan pembacaan dengan khusyuk. Dia tenggelam dalam kisah seorang lelaki bernama Saufi yang tinggal di sebuah tempat bernama Daerah Malam. Daerah Malam merupakan satu tempat yang tidak ada cahaya matahari, hanya malam sepanjang hari. Disebabkan terlalu letih, Zara tertidur.
                Tepat pukul 12 malam, Zara terjaga. Bunyi loceng rumahnya yang tidak henti mengejutkan dia dari tidur. Zara bergegas ke pintu. Sangkanya itu mungkin ibu dan abah yang baru pulang menjemput adik lelakinya, Adri balik dari asrama.
                Pintu rumah dibuka oleh Zara. Angin sejuk malam itu menyebabkan Zara terjaga sepenuhnya dari tidur. Zara pelik melihat porch rumahnya yang masih lagi kosong.
                “Mana pulak ibu dengan abah ni?”Bisik Zara sendiri. Tidak puas hati dengan apa yang dilihat, Zara memeriksa kawasan rumahnya. Sah. Ibu dan abahnya masih lagi belum pulang.
                “Aku mengigau ke?”Zara menggaru kepalanya sebelum masuk ke dalam rumah. Pintu rumah dikunci bagi memastikan keselamatannya terjaga memandangkan dia berseorangan di rumah.
                Sebaik sahaja Zara berpaling ke belakang, dia mendapati dia berada di tempat yang sangat asing. Keadaan yang gelap dan sejuk membuatkan Zara bingung.  Dia seperti berada di sebuah kawasan tinggal. Terdapat rumah-rumah tidak berpenghuni serta jalan-jalan kosong hanya diterangi dengan lampu jalan yang hanya memancarkan cahaya malap.
                Zara kaku di tempat dia berdiri. Dia masih lagi tidak dapat berfikir macamana dia boleh berada di tempat itu.
                “Apa kau buat kat sini?” Tegur satu suara lelaki mengejutkan Zara.
                Zara berpaling ke belakang dan melihat seorang lelaki berbadan tegap sedang memandangnya. Lelaki itu kelihatan berusia dalam lingkungan 30-an, memakai t-shirt lusuh dan berseluar pendek paras lutut.
                “Kau siapa? Macamana aku boleh ada kat sini?” Zara mula berasa takut.
                Lelaki itu memandang Zara dengan curiga. Setelah memastikan yang Zara betul-betul tidak tahu di mana dia berada barulah lelaki itu menjawab soalan Zara.
                “Aku Saufi. Kau tak tahu tempat ni? Kita ada kat tempat tanpa siang. Gelap sepanjang hari dan hanya bergantung pada cahaya lampu. Dan juga bintang, kadang-kadang.”
                “Apa benda yang kau merepek ni?” Zara geram tidak faham dengan jawapan Saufi.
                Saufi tersenyum. Melihatkan Zara yang masih lagi keliru, Saufi tahu apa yang telah terjadi pada Zara.
                “Selamat datang ke Daerah Malam, explorer nombor 2293.”
                “Aku.. Aku kat Daerah Malam? Tu bukan nama buku ke? Explorer? Apa semua ni?” Zara memandang kawasan sekeliling. Gelap. Tak ada satu bunyi melainkan bunyi angin yang lalu.
                Kini Saufi memandang serius. Zara betul-betul clueless dengan apa yang jadi sekarang.
                “Kau betul-betul tak tahu macamana kau boleh ada kat sini?”
                Zara memandang Saufi. Seperti kehilangan kata-kata dia hanya mampu menggeleng bagi menjawab soalan itu.
                Saufi menarik nafas dalam. Sambil memerhatikan keadaan sekeliling, dia menarik tangan Zara supaya mengikutnya.
                “Eh, kita nak ke mana ni?”Zara mula cuak.
                “Sini tak selamat. Aku cerita kat kau apa yang sebenarnya jadi masa kita jalan nanti,”Jawab Saufi.
                Setelah memastikan keadaan selamat, Saufi mula bercerita.
                “Kau sebenarnya dah terperangkap dalam cerita yang kau baca, Daerah Malam. Sebenarnya, bukan kau je. Semua orang kat sini dah terperangkap, semuanya sebab baca buku itu. Buku tu dah disihir oleh seorang perempuan.”
                “Puteri Kayangan Malam?” Jawab Zara.
                Saufi mengangguk. Zara terkejut. Dia tak sangka dia kini berada dalam buku yang baru saja dibacanya beberapa jam yang lepas. Zara tahu mengenai Puteri Kayangan Malam kerana sudah hampir separuh buku itu dibaca. Puteri Kayangan Malam, seorang puteri Daerah Bayu yang mempunyai kuasa sakti telah dibuang negeri oleh bapanya setelah didapati bercinta dengan rakyat biasa manakala kekasihnya telah dihukum bunuh. Disebabkan sedih dan marah, Daerah Bayu disumpah menjadi Daerah Malam dan sebuah hikayat mengenai Daerah Malam tercipta. Puteri Kayangan Malam berjanji akan memerangkap siapa saja yang membaca Daerah Malam bagi membalas dendam terhadap kekasihnya. Watak utama dalam buku itu juga akan bertukar mengikut mangsanya yang terbaru.
                Melihatkan wajah Zara yang seperti tidak percaya dengan kata-katanya, Saufi mengeluh.
                “Aku tahu mesti kau susah nak percaya. Tapi ni lah benda sebenar yang jadi. Kalau betul kau dah baca buku tu mesti kau kenal dengan tempat ni,” Jelas Saufi lagi.
Zara melihat keadaan sekeliling. Benar. Serupa dengan deskripsi tempat dalam buku itu. Zara mula berasa panik setelah memastikan yang Saufi tidak berbohong. 
                “Habis tu, macamana aku nak keluar dari sini?!”Zara meninggikan suara.
                Saufi menutup mulut Zara sambil berkata perlahan, “Hei, jangan bising! Ada ramai mangsa tengah cuba nak survive kat sini. Bekalan makanan dan oksigen makin terhad, orang dah mula berbunuh sesama sendiri!”
                Zara terbeliak mendengar kata-kata Saufi. Setelah memastikan yang Zara sudah bertenang, Saufi mengalihkan tangannya dari mulut Zara.
                “Kat sini memang tak ada jalan keluar. Melainkan…”
                “Melainkan?”
                “Melainkan orang luar yang membaca buku ni selamatkan kau.”jawab Saufi.
                Zara terdiam. Dia cuba memahami apa yang dikatakan Saufi.
                “Maksud kau.. Semua permintaan tolong  dalam buku tu, semuanya betul?”Zara memandang Saufi dengan takut. Takut kalau apa yang difikirkan itu sebenarnya betul.
                Saufi mengangguk.
                “Zara! Zara kat mana tu?” Tiba-tiba mereka terdengar suara yang sangat dikenali Zara.
                “Ibu!”Jerit Zara. Zara mahu berlari mendapatkan suara ibunya namun ditahan oleh Saufi.
                “Jangan! Ibu kau tak ada kat sini. Dia masih ada kat luar sana. Apa yang jadi kat luar sana kita boleh tahu, bergantung pada tempat buku ni berada sekarang.”Jelas Saufi.
                Zara teringat yang buku itu ditinggalkan di atas katilnya. Pasti ibunya sedang mencari dia di dalam bilik sekarang.
                “Habis tu takkan kita nak duduk je kat sini! Macamana diorang kat luar tu nak tau kita ada kat sini!”Bentak Zara, tidak puas hati dengan Saufi.
                “Kau jeritlah kuat mana pun, bukannya diorang boleh dengar. Kalau orang kat luar tu tak baca buku ni, diorang tak dapat tau pun kita ada kat sini.”Jelas Saufi.
                “Tu! Kat sana tu! Tangkap diorang!” Zara dan Saufi serentak menoleh ke arah suara itu. Kelihatan sekumpulan lelaki dan perempuan bersenjata tajam sedang berlari ke arah mereka. Mendengarkan cerita Saufi tadi tahulah Zara yang mereka sedang diburu oleh kumpulan itu untuk dijadikan makanan.
                “Lari cepat!” Saufi menarik tangan Zara. Mereka berlari sekuat hati bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa kumpulan kanibal itu.
                “Ibu, akak mana?”
                Zara berhenti dari lariannya apabila mendengar suara adik lelakinya, Adri.
                “Entahlah. Takda pulak dalam bilik. Dia tidur rumah kawan dia kot.”Jawab ibunya.
                “Hei! Kau buat apa ni! Lari!”Teriak Saufi sambil menarik-narik tangannya.
                “Nanti! Ni peluang kita! Aku kena pastikan Adri tahu kita kat sini!”Zara merentap tangannya dari pegangan Saufi.
“Adik! Adik! Kakak kat sini!!” Jerit Zara sekuat hati. Dia tidak boleh mati. Tidak, bukan malam ini.
                Adri pelik melihat Zara tiada di rumah. Bilik akaknya itu dipandang lama sebelum matanya terhenti pada sebuah buku hitam di atas katil kakaknya. Buku itu menarik perhatiannya. Adri merebahkan badannya lalu mengambil buku hitam itu, membelek-belek kemudian membaca  secara rawak. Ada satu muka surat yang menarik perhatian Adri. Muka surat itu hanya mempunyai sebaris ayat di tengah.
Adik! Adik! Kakak kat sini!
                Adri berkerut. “Hm? Buku apa yang akak aku baca ni? Pelik gila.” Adri menutup buku itu lalu bangun dari katil. Adri membelek buku itu sekali lagi sebelum meletakkan buku itu di rak buku.
“Tak cukup tidur agaknya aku ni..”Kepalanya diurut perlahan sebelum keluar dari bilik Zara.

No comments:

the assassins